18/08/2015

CARA TERBAIK HINDARI STROK HABA

WASPADA RISIKO STROK HABA

Kuala Lumpur: Atlet yang beraksi dan menjalani latihan dalam cuaca panas terdedah kepada risiko tekanan haba dan strok haba, menurut Institut Sukan Negara (ISN).
ISN dalam kenyataan semalam menyatakan, tekanan haba boleh menyebabkan spektrum penyakit bermula daripada ringan, semakin teruk hingga kepada keadaan lebih serius seperti keletihan haba dan strok haba.

Strok haba, satu bentuk penyakit serius berkaitan haba, salah satu daripada tiga punca utama kematian dalam kalangan atlet, namun penyakit haba itu boleh dicegah.

“Apabila atlet berlatih, suhu badan tinggi dan badan berpeluh dan menyejukkan untuk menurunkan sendiri suhu badan. Semasa proses ini, cecair badan dan juga elektrolit penting hilang.

“Jika badan tidak diisi semula dengan cecair dan elektrolit, dehidrasi boleh berlaku dan meningkatkan risiko penyakit haba seperti strok haba,” menurut kenyataan itu.
Tanda-tanda penyakit haba termasuk seram sejuk, air kencing berwarna gelap, mulut kering, sakit kepala, dahaga dan lemah.

Jika penyakit haba berterusan, tanda-tanda lebih serius seperti kesukaran bernafas, suhu badan meningkat kepada tahap berbahaya, kekejangan otot, loya dan berasa kebas pada kaki dan tangan serta boleh menyebabkan kematian.

Kebanyakan yang terjejas adalah atlet olahraga yang perlu menjalani latihan dalam keadaan trek panas.
Jurulatih pecut negara K Jayabalan, bagaimanapun berkata, keadaan cuaca panas tidak mengganggu jadual dan latihan atlet bagi menghadapi Sukan SEA 2015 di Singapura pada Jun.

“Setakat ini, semua atlet dalam keadaan baik, ISN sudah memberi nasihat dan memantau atlet untuk menjaga kesihatan mereka. Atlet juga dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti luar. Saya tidak mahu keadaan ini memberi kesan kepada persediaan untuk Sukan SEA akan datang,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:21 AM

SUMBER : http://www.hmetro.com.my/node/33649#sthash.mJVdv9b0.dpuf




No comments:

Copyright to Celoteh Ibu Cakna
Designed by UMIESUEstudio 2015